Tribuana Bangsawan ASEAN 2025 Angkat Warisan Nusantara

Tribuana Bangsawan ASEAN 2025 telah berlangsung gemilang di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 30 dan 31 Ogos 2025 lalu, menghimpunkan Malaysia, Singapura, dan Indonesia di bawah satu pentas seni. Persembahan seperti Adruja Grahi, Maharaja Mandasari, dan Pangeran Astapati diserikan dengan dikir barat, koir, tarian serta puisi, menjadikan acara ini bukan sekadar persembahan tetapi simbol diplomasi budaya ASEAN serta penghargaan kepada Seniman Negara Allahyarham Rahman B.

Farisha Rahman

10/2/20251 min read

Kuala Lumpur, 31 Ogos 2025 – Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi saksi kepada pementasan agung Tribuana Bangsawan ASEAN 2025: Tribute Seniman Negara Rahman B. pada 30 dan 31 Ogos lalu. Program ini dianjurkan oleh Majlis Teater Selangor (MTS) dengan kerjasama DBP serta sokongan strategik Zumail Global Sdn. Bhd., dan disokong oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta agensi berkaitan.

Acara ini menghimpunkan tiga negara iaitu Malaysia, Singapura, dan Indonesia dalam satu pentas yang memartabatkan seni bangsawan sebagai warisan serantau. Malaysia mempersembahkan Adruja Grahi arahan Dr. Zainatul Aida Abd. Rahman, Singapura dengan Maharaja Mandasari arahan Samsudin Said, manakala Indonesia menampilkan Pangeran Astapati arahan DC Aryadi.

Selain persembahan utama, acara turut diserikan dengan persembahan dikir barat oleh Sekolah Antarabangsa Wesley, koir oleh Chamber Choir UiTM, serta tarian daripada kumpulan Langkah Seni Nusantara. Primadona Zamzuriah Zahari, Maslinah Yusoff (DBP) dan Dato’ Roslan Madon turut memukau hadirin dengan nyanyian dan puisi.

Forum Seni ASEAN turut diadakan membincangkan evolusi bangsawan, cabaran kelestarian warisan, serta peranan teknologi moden dalam mengekalkan keaslian seni. Kehadiran tokoh budaya dan tetamu kehormat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia menyerlahkan kejayaan program ini sebagai platform diplomasi budaya serantau.

Tribuana Bangsawan ASEAN 2025 bukan sekadar persembahan seni, tetapi simbol penghargaan kepada Seniman Negara ke-6, Allahyarham Rahman B., serta usaha memelihara warisan nusantara untuk generasi akan datang.